mutakhir

Tumpuan terarah di Pintu Utama Istana Negara

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pintu utama Istana Negara, di sini, menjadi tumpuan apabila puluhan pengamal media mula berkumpul sejak 7 pagi tadi.

Ia susulan perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang akan diadakan hari ini sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merungkai kemelut pembentukan kerajaan baharu.

Setakat 9 pagi tadi, tiada kelibat kenderaan yang membawa Raja-Raja Melayu yang dijangka tiba kira-kira jam 10 pagi nanti.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin dipetik berkata, perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Yang di-Pertuan Agong mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap wakil pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pagi, semalam.

Semalam, tiga wakil pimpinan tertinggi BN dan empat pimpinan kanan GPS hadir ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya 30 Ahli Parlimen BN menghadap baginda jam 10.30 pagi semalam.

Namun, mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi memutuskan memohon penangguhan kedua daripada Istana Negara untuk sesi menghadap semua Ahli Parlimen berkenaan.

Kelmarin, baginda mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas kedua-duanya gagal menerima sokongan majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 9:41am
d