mutakhir

Tak perlu jual prinsip parti untuk jayakan kerajaan perpaduan - Azalina

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Kuala Lumpur: Langkah untuk menjadi sebahagian kerajaan perpaduan tidak bermakna perlu menjual prinsip dan dasar sesebuah parti, kata Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, sebaliknya mereka boleh bersetuju dengan manifesto bersama untuk memasukkan seluas mungkin janji dalam manifesto berkenaan.

"Ini membolehkan parti-parti berkenaan mengekalkan prinsip dan dasar masing-masing serta memastikan pengundi tidak rasa tertipu.

"Pembentukan kerajaan yang merangkumi parti dan gabungan berbeza boleh dilihat sebagai gabungan besar dan disifatkan 'Gabungan-Pasca PRU15'," katanya menerusi Twitter, semalam

Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan perpaduan demi negara dan rakyat.

Seri Paduka Baginda juga menitahkan 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menjadi sebahagian kerajaan baharu.

Azalina yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, terdapat beberapa varian perpaduan politik lain, antaranya kerajaan majoriti kuat dengan pembangkang bertanggungjawab atau kerajaan minoriti.

"Kini terpulang kepada parti politik untuk mengetepikan agenda peribadi dan perbezaan demi mengutamakan rakyat sekali gus sebagai tanda penghormatan kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

"Seri Paduka Baginda sudah menitahkan segera menyelesaikan krisis politik yang menyebabkan Parlimen tergantung dengan penubuhan kerajaan perpaduan," katanya.

Beliau juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas titah penyelesaian itu yang jelas mendahulukan rakyat.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 10:18am
d