mutakhir

PRU-15: Perikatan Nasional yakin menang di Padang Serai dan Tioman [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin Perikatan Nasional (PN) menang besar di kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, keyakinan itu juga berdasarkan perkembangan terkini berhubung perebutan yang berterusan berhubung pelantikan Perdana Menteri baharu.

"Berdasarkan gelombang sokongan semasa kepada PN dan penolakan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) ditambah dengan perkembangan terkini yang mencetus kesedaran rakyat, kami yakin dapat memenangi satu lagi kerusi untuk PN di kerusi Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman.

"Kami amat yakin Perikatan Nasional akan berjalan lancar untuk mencapai kemenangan di kedua-dua kerusi," katanya kepada pemberita.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah dan Pengerusi PN negeri terlebih dahulu mengiringi calon PN Datuk Azman Nasruddin di Pusat Penamaan Calon di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan pada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember berikutan kematian penyandang M Karupaiya, 69, akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 November lalu.

Pada PRU14, Karupaiya yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.

Saingan kerusi itu membabitkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

Dua lagi pencabar adalah Mohd Bakhri Hashim mewakili Warisan dan calon Bebas Sreanandha Rao.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 2:09pm
d