mutakhir

Kemuka maklumat palsu kepada JPN, wanita didenda RM1,000 [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang wanita didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tahun lalu.

Tertuduh, Chua Siew Li, 50, didakwa melakukan kesalahan itu di JPN Cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka pada 6 November 2021, jam 9.32 pagi.

Dia didapati memberi maklumat palsu dalam butir material No Daftar Kelahiran semasa menjadi penganjur bagi mendapatkan kad pengenalan kali pertama 12 tahun untuk kanak-kanak lelaki, Peng Wei Siong yang didakwa anak kandungnya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 25(1)(b) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum mengikut peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes petugas kaunter JPN UTC Melaka mendapati terdapat keraguan dari segi iras wajah pemohon (subjek) dengan tertuduh selaku 'ibu kandung' sebelum kes dirujuk ke bahagian siasatan dan penguatkuasaan untuk tindakan selanjutnya.

Hasil siasatan lanjut Siew Li mengakui bahawa kanak-kanak itu bukan anak kandungnya dan mendaftar kelahirannya menggunakan butiran palsu di JPN Puchong pada 20 Oktober 2009.

Butiran ibu bapa kandung sebenar gagal diperoleh selain tertuduh turut mengaku tidak pernah mendapatkan rawatan di Pusat Pakar Perbidanan Sakitpuan dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur seperti tercatat dalam daftar kelahiran.

Semakan pengesanan rekod kelahiran tidak dapat dilakukan kerana pusat itu sudah ditutup, manakala tempat kelahiran sebenar subjek juga tidak diketahui.

Justeru tertuduh melakukan kesalahan memberikan maklumat palsu dalam Daftar Kelahiran yang mengandungi maklumat tidak teratur dan palsu untuk mendapatkan kad pengenalan kali pertama.

Majistret Mazana Sinin ketika menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar turut menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu atau bakal berdepan hukuman lebih berat kerana sudah mempunyai rekod.

Terdahulu, Siew Li menangis teresak-esak ketika merayu terhadap hukuman dan memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahan itu.

Katanya, ibunya amat menyayangi kanak-kanak itu dan menjaganya sejak kecil disebabkan tiada orang mahu memeliharanya.

"Anak itu ada sedikit kekurangan dalam pelajaran dan kami ambil perhatian kerana sangat sayang dan mahu menjaga dia agar jadi orang yang baik.

"Saya bekerja sebagai eksekutif dengan pendapatan RM4,200 sebulan dan menanggung perbelanjaan termasuk ayah berusia 74 tahun dan berharap kes ini dapat diselesaikan," katanya.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 4:25pm
d