mutakhir

Dasar baru kerajaan penentu ekonomi

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Barisan kabinet baru yang bakal dibentuk dalam tempoh terdekat ini termasuk dasar kerajaan yang lebih jelas dilihat akan membantu negara mencapai pertumbuhan ekonomi stabil dan positif.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, memandangkan Malaysia sudah mempunyai Perdana Menteri, maka dasar-dasar kerajaan baru akan lebih jelas termasuk melalui manifesto yang dibawa sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, Kerajaan Persekutuan juga perlu dibentuk dengan segera kerana dasar fiskal kerajaan yang biasa membantu rakyat tidak dapat dilaksanakan selagi belum mempunyai kerajaan yang stabil.

"Sekiranya percaturan politik sekarang tidak distabilkan dengan segera maka ia akan menjejaskan ekonomi negara, maka sangatlah kritikal polemik politik ini dapat diselesaikan dengan seberapa segera.

"Pertama sekali dalam jangka masa terdekat, Belanjawan 2023 mesti diluluskan bagi mengelakkan gangguan kepada operasi kerajaan dan juga perancangan ekonomi untuk tahun hadapan dapat dibentangkan.

"Ia juga memberi kesan kepada perspektif pelabur luar dan tempatan kepada negara secara jangka panjang, selain itu ia menjejaskan strategi ekonomi negara bagi menghadapi kemelesetan ekonomi dunia yang dijangka melanda tahun depan.

"Begitu juga hala tuju dan kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) juga turut terkesan kerana perlantikan pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pengarah mungkin juga terganggu.

"Justeru Kerajaan Persekutuan dan barisan kabinet baru perlu dibentuk segera kerana ia memberi kesan kepada polisi dan dasar kerajaan yang mesti dilaksanakan," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, mengenai reaksi pasaran saham yang dikatakan naik selepas pengumuman pelantikan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata reaksi pasaran kelihatan positif dengan kenaikan setakat pagi ini, kerana pasaran saham sudah lama jatuh dan pengurus dana juga melihat beberapa saham mewah yang jatuh beberapa hari lalu.

"Ini adalah reaksi biasa pasaran termasuklah pasaran global yang turut lega dengan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang hanya dijangka menaikkan kadar faedah pada 0.5 peratus saja pada mesyuarat Disember berbanding jangkaan awal 0.75 peratus.

"Ini juga berdasarkan pengumumannya yang tidak akan terus menaikkan kadar faedah secara mendadak pada kadar yang tinggi serta membantu nilai mata wang ringgit untuk kembali kuat berbanding tukaran dolar AS.

"Kita boleh melihat pasaran saham lain dan matawang negara lain turun menguat berbanding dengan matawang dolar AS," katanya.

Menurutnya, matawang Baht Thailand, rupiah Indonesia dan dolar Singapura menambah antara 0.4 dan 0.9 peratus, manakala saham di Indonesia, Filipina dan India meningkat antara 0.2 dan 0.6 peratus.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 8:31pm
d