mutakhir

Dua maut, motosikal ditunggang bertembung kereta

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Dua individu meninggal dunia selepas motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan dengan kereta di Jalan Besar Palong 7,8-Jalan Palong 4,5 dan 6, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam kemalangan 9.35 malam itu, mangsa dikenali Sariffudin (penunggang), 35, dari Felda Palong Lapan dan Azamatul Alia (pembonceng), 28, dari Felda Palong Tujuh maut di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Felda Palong Tujuh dan Lapan menghala ke Felda Palong Empat, Lima dan Enam.

"Apabila tiba di lokasi, pemandu Proton Saga berusia 26 tahun dari arah bertentangan cuba memotong kenderaan di hadapannya, namun pada masa sama datang motosikal ditunggang mangsa.

"Kedua-dua kenderaan bertembung yang menyebabkan mangsa jatuh dan meninggal dunia, manakala pemandu kereta di tangan kanan," katanya hari ini.

Hoo berkata, jalan di lokasi kejadian bertanda garisan berkembar dengan keadaannya gelap dan sedikit berbukit, namun kering.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat, manakala pemandu kereta ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 25, 2022 @ 9:49am
d