mutakhir

Lelaki Bangladesh sengaja pasang bendera terbalik ditahan

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Lelaki Bangladesh ditahan kerana memasang Jalur Gemilang terbalik di luar kediamannya di sebuah pangsapuri di sini.

Sebelum itu, tindakan biadab lelaki lingkungan 30-an itu ditegur Pengerusi Komuniti pangsapuri berkenaan, namun dia didakwa masih berdegil dan enggan menurunkan bendera yang menyebabkan penduduk membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, suspek ditahan pada 12.40 tengah hari semalam untuk tindakan lanjut.

"Pengerusi Komuniti cuba menasihati namun individu itu melawan dan didakwa melakukan provokasi, selain enggan membetulkan bendera terbabit.

"Justeru, laporan polis yang membawa kepada penahanan suspek yang merupakan operator pengeluaran sebuah kilang di sini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek direman tiga hari bagi siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tindakan lelaki Bangladesh itu turut tular di media sosial.

Vijaya Rao menegaskan tindakan boleh diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak menghormati kedaulatan dan keamanan negara ini.

Disiarkan pada: November 27, 2022 @ 5:00pm
d