mutakhir

APM tempatkan 30 anggota hadapi bencana dan hari mengundi [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kulim menempatkan 30 anggota untuk bersiap siaga bagi menghadapi kecemasan atau banjir kilat termasuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai, 7 Disember ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, untuk PRU-15 ini, 15 anggotanya terdiri daripada 10 anggota akan melakukan pemantauan di kawasan tempat mengundi manakala lima anggota lain bertugas di bilik gerakan di pejabat APM.

Beliau berkata, bilik gerakan itu akan menerima maklumat daripada anggota yang bertugas di lapangan untuk bantuan disalurkan.

Katanya, berdasarkan trend cuaca di daerah ini, hujan lebat berlaku pada sebelah petang atau malam tetapi cerah di sebelah pagi.

"Jika hujan lebat sehingga berlakunya banjir kilat pada hari mengundi, kami akan menggerakkan lebih ramai anggota yang bertugas ketika itu untuk membantu memindahkan mangsa serta membawa mereka ke tempat selamat.

"Di daerah Kulim, kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di Karangan, Mahang, Padang Cina, Lunas dan Terap.

"Taman Sang Kancil di Lunas dan Kampung Padang Limau di Mukim Padang Cina paling kerap dinaiki air apabila hujan lebat melanda lebih dua jam," katanya ketika ditemui di Pejabat APM Kulim, di sini hari ini.

Amirul Aliff berkata, pihaknya turut melakukan persediaan aset termasuk bot, lori lima tan dan ambulan.

Katanya, pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk melakukan pemantauan.

"Penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran sungai supaya bersiap sedia sekiranya hujan berterusan melebihi dua jam di kawasan mereka.

"Segera hubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan supaya mangsa banjir dapat dipindahkan dengan segera," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2022 @ 6:35pm
d