mutakhir

Jumlah tunggakan bil pengguna AKSB cecah RM28.5 juta

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Jumlah tunggakan bil pengguna Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sehingga September tahun ini mencecah RM28.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan Datuk Azami Mohd Nor berkata, jumlah itu menyaksikan pengurangan ketara berbanding sehingga Disember tahun lalu sebanyak RM33.2 juta.

Menurutnya, punca utama tunggakan adalah daripada pengguna domestik yang masih tinggi iaitu berjumlah RM18.4 juta sehingga September tahun ini.

"Kutipan sedikit perlahan disebabkan pengguna domestik yang masih dalam pasca Covid-19.

"Bagi meningkatkan hasil kutipan, AKSB menjalankan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan di seluruh jajahan terutama yang tiada masalah bekalan air bersih.

"Pada masa sama, kita menyediakan pelbagai medium kutipan termasuk melalui bank dan melalui Internet," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang bertanyakan jumlah tunggakan bil AKSB dan penyebab kepada tunggakan itu.

Mengulas lanjut, Azami yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadok berkata, beberapa tindakan turut diambil AKSB bagi pengguna bil yang tertunggak.

"Notis dalam bil akan dicetak untuk dimaklumkan kepada pengguna yang mereka mempunyai tunggakan.

"Bagi pengguna yang melebihi tempoh tiga bulan tertunggak dan melebihi RM1,000, pemotongan terhadap akaun akan dibuat.

"Selain itu, bagi yang melebihi tiga bulan namun bil kurang dari RM1,000, unit penguatkuasaan jajahan akan membuat lawatan ke premis pengguna yang berkenaan untuk membuat rundingan pembayaran," katanya.

Pada masa sama, ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Hilmi Abdullah (Pas-Guchil) yang bertanyakan sama ada kerajaan mahu memberi bekalan air percuma kepada asnaf di Kelantan, Azami berkata, pihaknya sentiasa membantu penduduk yang memerlukan.

"Kita menyediakan 30 lori sewa khas yang bersedia untuk mengagihkan bekalan air percuma kepada asnaf di semua kawasan.

"Sejak April 2020 sehingga Julai tahun ini, kita sudah membelanjakan RM11.5 juta untuk agihan air percuma kepada golongan asnaf dan ini adalah antara tanggungjawab sosial kita," katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2022 @ 11:30am
d