mutakhir

Peniaga didakwa menyamar polis cuba tendang jurugambar [METROTV]

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menyamar sebagai polis termasuk satu pertuduhan membabitkan kerugian sebanyak RM100,000 tahun lalu.

V Premantharan Pillai, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim dan Majistret R Manomani.

Mengikut pertuduhan pertama, Premantharan didakwa memperdaya seorang wanita pada 24 dan 25 Februari 2021 antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang dengan menyatakan bahawa dia boleh membebaskan suami wanita itu yang dipenjarakan membabitkan kes dadah.

Tertuduh turut memperdayakan wanita berkenaan supaya menyerahkan wang sebanyak RM100,000 yang dipindahkan ke akaun milik seorang lelaki dan wanita lain masing-masing berusia 61 dan 46 tahun dengan transaksi dilakukan di dua cawangan bank di Balik Pulau dan Relau, dekat sini.

Mengikut pertuduhan kedua, sehari sebelum transaksi wang itu dilakukan tertuduh ke rumah mangsa yang berusia 53 tahun itu di Sungai Ara, Bayan Lepas sekitar jam 4.10 petang dan berpura-pura mengaku dirinya pegawai polis.

Bagi pertuduhan ketiga, Premantharan menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bertujuan memperdayakan seorang wanita berusia 33 tahun di sebuah bank di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 13 Februari tahun lalu jam 9.55 malam.

Dua daripada kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahrezal Mohd Syukri dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam, RSN Rayer.

Pihak pendakwa raya memohon supaya mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan dia dikatakan gagal dikesan sejak laporan ke atasnya dibuat tahun lalu sebelum ditahan di luar Pulau Pinang.

Rayer bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin selain turut memaklumkan anak guamnya mempunyai tanggungan isteri serta tiga anak dan bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

Beliau turut menyatakan tiada laporan polis yang menyatakan anak guamnya yang bermastautin di Kuala Lumpur dan dipercayai ditahan di ibu kota itu cuba meloloskan diri atau disekat di sempadan selain dia tidak memiliki pasport.

Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM9,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan 10 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula serta penyerahan dokumen selain turut membenarkan kesemua pertuduhan dibicarakan secara serentak.

Dalam pada itu, tertuduh bertindak kasar dengan cuba menendang kamera petugas media kerana tidak berpuas hati gambarnya dirakam dalam perjalanan keluar selepas kesnya dibacakan di Mahkamah Sesyen sebelum menuju ke Mahkamah Majistret yang terletak di aras berlainan bangunan yang sama.

Disiarkan pada: December 1, 2022 @ 3:00pm
d