mutakhir

Perak kekal pendirian tidak bekal air ke Pulau Pinang [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Perak tetap dengan pendirian tidak membekalkan air ke Pulau Pinang meskipun pembentukan kerajaan negeri sekarang adalah campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pendirian Perak sebelum ini adalah muktamad iaitu, Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kepada kerajaan Pulau Pinang tidak akan dilaksanakan bukan atas alasan perbezaan parti yang menerajui kedua-dua negeri terbabit semata-mata.

"Dia bukan sama ada kerajaan BN atau kerajaan PH, (sebaliknya) ia berkaitan sama ada air di Perak ini mencukupi untuk kegunaan dalam negeri atau tidak.

"Ia bukan pasal kerajaan PH (menerajui Pulau Pinang) dan BN (menerajui Perak) sebelum ini.

"Kerana mana-mana kerajaan pun (yang mentadbir), masalah kita (di Perak) ialah kapasiti air Sungai Perak itu hanya cukup untuk kegunaan dalaman, apatah lagi di Perak kita akan bangunkan sebagai sebuah negeri perindustrian yang akan memerlukan air yang banyak," katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja ke tapak projek rintis CLQ di Asrama Murni dekat Jelapang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal dalam talian minggu lalu mengenai gesaan ke atas kerajaan Pulau Pinang supaya perlu meneruskan rundingan pelaksanaan SPRWTS dengan kerajaan Perak yang kini ditadbir secara bersama oleh BN dan PH.

Menerusi laporan itu, gesaan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar, Teh Lai Heng yang menyifatkan pentadbiran secara bersama antara BN dan PH di Perak kini sebagai peluang keemasan untuk menjayakan projek SPRWTS yang tertangguh sejak 11 tahun lalu.

Saarani pada Mac lalu turut menegaskan, keputusan itu turut mengambil kira beberapa kajian berhubung impak pengaliran keluar air dari Sungai Perak terhadap prestasi empangan janakuasa elektrik serta kegunaan sektor perkilangan.

Disiarkan pada: December 1, 2022 @ 4:42pm
d