mutakhir

758.47 hektar tanah untuk landasan kereta api laju

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Tanah seluas 758.47 hektar membabitkan daerah Gombak, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor bakal digunakan bagi pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Infrastruktur, Ng Sze Han berkata, pembinaan sepanjang 90.27 kilometer (km) itu membabitkan jajaran bertingkat sepanjang 27.84 km, arah tanah sepanjang 33.93 km dan terowong sepanjang 28.5 km.

"Pembinaan itu membabitkan jajaran sepanjang 158.33 km di daerah Gombak, Hulu Selangor (169.09 km), Kuala Selangor (118.78 km) dan Klang (131.82 km) bagi jajaran C2," katanya ketika menjawab pertanyaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, tadi.

Dalam pada itu katanya, tiada perubahan jajaran ECRL dalam negeri Selangor yang sudah dimuktamadkan pada tahun 2020 pada jajaran di kawasan utara Selangor.

"Jajaran ECRL di Selangor sudah dimuktamadkan supaya menggunakan jajaran di sebelah utara. Jajaran itu membabitkan jarak sepanjang 90.27 km di sebelah utara di negeri Selangor," katanya.

Pada masa sama Sze Han berkata, kerajaan negeri mengharapkan cadangan mengadakan satu lagi laluan rel di selatan negeri Selangor mendapat pertimbangan kerajaan Persekutuan.

"Cadangan daripada kerajaan negeri Selangor untuk mengadakan satu lagi laluan rel di sebelah selatan sudah diberikan kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mengharapkan cadangan ini akan dipertimbangkan oleh kerajaan persekutuan," katanya.

Sebelum ini kerajaan negeri menegaskan Selangor kekal dengan pendirian memilih jajaran selatan membabitkan Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun pentadbiran bersetuju menerima cadangan jajaran utara dan berharap projek mengambil kira kesan terhadap alam sekitar dan impak sosial.

Pada Mei lalu. bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan ECRL sepanjang 665 km dengan kos anggaran RM50.27 bilion dijangka siap pada 2026.

Disiarkan pada: December 2, 2022 @ 11:33am
d