mutakhir

Kerajaan diminta tangani isu kenderaan asing beli petrol, diesel bersubsidi

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Kerajaan baharu perlu menangani isu pemandu kenderaan warga asing membeli petrol dan diesel bersubsidi di negara ini yang tiada kesudahan menerusi beberapa langkah penguatkuasaan lebih efektif.

Aktivis masyarakat Michael Tay Chee Boon berkata, isu pembelian petrol dan diesel bersubsidi oleh warga asing itu membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia apabila pintu sempadan negara dibuka kembali selepas pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kementerian terbabit sudah meningkatkan penguatkuasaan terhadap pemilik stesen minyak yang didapati menjual bahan api itu kepada kenderaan pendaftaran asing dengan tindakan denda sehingga RM2 juta.

"Bagaimanapun, bukan saja pengusaha stesen perlu didakwa dan didenda, malah pemandu yang didapati bersalah juga perlu dikenakan tindakan yang sesuai.

"Ia bagi mendidik pemandu yang degil serta mengelakkan isu pembelian petrol dan diesel bersubsidi dalam kalangan pemandu kenderaan pendaftaran asing berlarutan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Michael Tay berharap sesuatu tindakan sesuai dapat dilakukan dalam tempoh terdekat bagi menangani permasalahan berkenaan.

Disiarkan pada: December 3, 2022 @ 3:07pm
d