mutakhir

2 lelaki warga Nepal ditemukan maut [METROTV]

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Dua lelaki warga Nepal ditemui maut dengan kesan kecederaan pada muka di sebuah premis yang dijadikan kantin pekerja di Jalan Haruan 4/7, Taman Perindustrian Oakland, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, seorang lagi lelaki warga Nepal dipercayai pengurus kantin turut ditemui di lokasi, namun tidak mengalami kecederaan dan ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian dipercayai berlaku akibat pengaruh alkohol, namun polis sedang melakukan siasatan mengenai punca dan bagaimana ia berlaku.

"Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam jam 6.25 petang tadi memaklumkan terdapat kes kematian di lokasi sebelum sepasukan petugas digegaskan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba polis menemui dua lelaki dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

"Terdapat kesan darah di lokasi kejadian selain kesan kecederaan pada muka kedua-dua mayat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua lelaki berkenaan berada agak jauh antara satu sama lain, malah seorang lagi lelaki warga Nepal berusia 37 tahun turut berada di lokasi.

"Siasatan awal polis menemui tukul dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian ini. Suspek lelaki warga Nepal berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut juga mendapati dua mangsa masing-masing berusia 35 dan 46 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat sama.

"Kedua-dua mangsa tinggal berdekatan lokasi kejadian. Premis ini dijadikan kantin bagi pekerja keselamatan untuk mendapatkan makanan," katanya.

Menurut Nanda, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini termasuk motif kejadian dan kaitan suspek yang berada di lokasi.

"Pihak kami akan melihat kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian. Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2022 @ 10:29pm
d