mutakhir

'Buka buku baru'

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: Sejarah hitam bergelar seorang banduan jenayah selama empat tahun sebelum ini mengubah kehidupannya apabila kini terbabit dalam bidang pertanian menerusi tanaman halia bentong secara komersial.

Kehidupan di sebalik tirai besi bermula April 2019 hingga Januari 2022 di Penjara Penor, Kuantan dan Penjara Sungai Buluh, Selangor memberi 1,000 keinsafan mendalam buat Mohd Fadzrul Hakim Othman, 34, untuk memulakan kehidupan baharu yang lebih bermakna.

Mohd Fadzrul kini mampu berbangga apabila dapat meneruskan projek tanaman halia bentong (Zingiber officinale) secara fertigasi yang dimulakan oleh arwah adiknya, Fateen Afiqa dua tahun lalu di Kampung Kuala Pahang, Pekan.

Katanya, kini terdapat sebanyak 4,000 polibeg tanaman berkenaan yang matang dan proses memungut hasil dilakukan secara berperingkat mengikut permintaan pelanggan.

"Tanaman halia bentong yang terkenal di negara ini mengambil masa enam hingga sembilan bulan untuk matang dan dituai, mengikut permintaan pemborong yang inginkan halia muda atau halia tua.

"Penjagaan tanaman berkenaan lebih mudah berbanding tanaman jenis ubi lain, ancaman serangan dan penyakit begitu rendah. Penggunaan baja khas yang dicampur dengan air dalam tangki khas diperlukan mengikut sukatan ditetapkan.

"Boleh dikatakan mengusahakan tanaman halia bentong mampu memberi pulangan menguntungkan sekiranya tidak mendapat saingan daripada halia import dari China dan Thailand yang dijual pada harga terlalu rendah," katanya.

Mengimbau detik dia dihukum penjara, Mohd Fadzrul berkata, kesabaran yang begitu rapuh dalam dirinya tercetusnya episod pergaduhan menggunakan senjata dan perbuatan itu menyebabkan mangsa mengalami kecacatan kekal.

Katanya, disebabkan perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326, Kanun Keseksaan (KK) Akta 574 yang membawa hukuman penjara empat tahun.

Menurutnya, kisah lalu telah dilupakan dan ia menjadi pengajaran berguna supaya tidak berulang lagi, kehidupan baharu yang lebih sempurna perlu dihadapi dalam meneruskan perjuangan hari yang mendatang.

"Saya perlu bangkit dan berlari mengejar impian sebagai pekebun yang berjaya, bukan sahaja tanaman halia, tetapi turut membabitkan sayuran berdaun dan cili menggunakan teknik fertigasi," katanya.

Mohd Fadzrul berkata, permintaan terhadap halia bsentong yang ditanam secara fertigasi kini menggalakkan, harga ladang antara RM8 hingga RM11 sekilogram membabitkan halia muda dan tua.

Katanya, medium utama tanaman halia dalam polibeg ialah sekam padi yang dibakar, setiap hari pokok dibekalkan air mengandungi baja.

Setiap satu polibeg mampu menghasilkan antara dua hingga tiga kilogram halia muda dan antara tiga hingga enam kilogram halia tua.

Menurutnya, dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM80,000 untuk membeli formula baja khas untuk tanaman halia bentong yang dikeluarkan oleh kumpulan pakar baja pertanian agensi kerajaan.

Katanya, selepas mencapai usia matang proses mengambil halia perlu dilakukan, pokok dicabut untuk mengambil isinya.

"Halia bentong dikatakan mempunyai banyak khasiat kesihatan yang tidak terdapat pada halia biasa yang terdapat di pasaran, faktor berkenaan menyebabkan harga halia itu lebih tinggi," katanya.

Mohd Fadzrul berkata, jualan halia bentong berada di kemuncak dengan harga yang memuaskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini berikutan larangan kemasukan hasil pertanian daripada negara jiran.

Katanya, kemasukan halia dari Thailand dan China ke pasaran tempatan tanpa sekatan pihak berkuasa menyebabkan harga halia bentong kini mula jatuh, pengguna lebih berminat menggunakan halia biasa disebabkan harganya yang rendah dan banyak terdapat di pasar raya.

Katanya, untuk memastikan masa depan pekebun halia bentong di negara ini tidak terus berhadapan dengan masalah pasaran, kerajaan perlu bertindak mengehadkan kemasukan halia dari negara luar.

Beliau berkata, dia kini perlu berusaha menggunakan pelbagai cara untuk memasarkan halia yang telah matang, selain pelanggan tetap pasaran turut ditumpukan kepada peniaga kecil dan masyarakat setempat.

"Projek tanaman halia bentong ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dibawah program bantuan nelayan musim tengkujuh di Kuala Pahang.

"LKIM menyediakan bantuan kewangan kepada 160 nelayan, saya yang bertanggungjawab menjalankan projek tanaman halia Bentong, 30 peratus keuntungan diserahkan Persatuan Nelayan Kuala Pahang (PNKP) untuk diagihkan kepada peserta.

"Projek yang mula diusahakan tiga tahun lalu itu telah dua kali mengeluarkan hasil dan setakat ini nelayan berpuas hati dengan keuntungan diterima," katanya yang berbangga dapat membantu menambah pendapatan nelayan kampungnya.

Mohd Fadzrul bersyukur mendapat sokongan kuat keluarga dalam menjayakan projek tanaman halia bentong, abangnya, Mohd Farhadi Farhan, 36, yang lebih berpengalaman dalam bidang pertanian menjadi individu penting kejayaan projek terbabit.

Disiarkan pada: December 4, 2022 @ 7:01am
d