mutakhir

Sengaja cari publisiti...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Gara-gara tidak puas hati diperiksa polis secara rambang, lelaki bertindak memuat naik gambar tangkap layar aduan dipercayai kepada Ketua Polis Negara di Twitter yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya mengesan ciapan itu yang dimuat naik di Twitter pada 11.20 malam tadi.

"Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku ketika lima anggota First Response Team (FRT) dari Balai Polis Jinjang menjalankan rondaan cegah jenayah berhampiran sebuah restoran di Jinjang pada 10.30 malam tadi.

"Anggota polis kemudian terserempak dengan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan sebelum mereka bergegas masuk ke dalam kereta masing-masing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, selepas memperkenalkan diri, pihak polis meminta kad pengenalan mereka untuk membuat semakan dengan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

"Salah seorang daripada empat lelaki terbabit kemudian meminta anggota polis untuk bercakap dengan peguamnya bagi tujuan pengesahan dan pihak polis menjelaskan tujuan pemeriksaan itu dijalankan.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati tiada kesalahan dilakukan empat lelaki terbabit dan mereka dibenarkan beredar dari lokasi pemeriksaan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis mengesan satu ciapan Twitter yang tidak berpuas hati dengan pemeriksaan polis terbabit.

"Pemeriksaan terhadap individu atau kenderaan yang mencurigakan adalah tugas utama polis bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin. Polis sentiasa berhemah dan bersikap adil dalam melaksanakan tugas pencegahan jenayah dengan tidak mengamalkan sebarang unsur perkauman.

"Orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Terdahulu, satu ciapan mendakwa pihaknya dijadikan sebagai sasaran oleh pihak tertentu tular di media sosial selepas ia dimuat naik di Twitter, malam tadi.

Ciapan itu turut disertakan dengan beberapa gambar tangkap layar mesej mengenai kejadian berkenaan yang didakwa dihantar kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Disiarkan pada: December 4, 2022 @ 2:15pm
d