mutakhir

Tengku Zafrul tak hadir mesyuarat khas Kabinet, ada urusan di Qatar

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Hanya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tidak menghadiri mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini.

Sumber memaklumkan menteri berkenaan mempunyai urusan di Qatar.

Bagaimanapun sumber itu tidak memperincikan urusan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di sini, tiga hari selepas senarai anggota Jemaah Menteri diumumkan Jumaat lalu.

Barisan Kabinet dianggotai 28 menteri serta dua Timbalan Perdana Menteri, selain Anwar sendiri memegang portfolio Menteri Kewangan.

Mesyuarat pertama yang dihadiri Jemaah Menteri kecuali Tengku Zafrul itu bermula jam 10 pagi.

Anwar tiba di bangunan Perdana Putra itu pada 8.10 pagi sebelum mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan.

Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, hampir seminggu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menyaksikan tiada mana-mana parti politik mahupun gabungan berjaya memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Disiarkan pada: December 5, 2022 @ 2:44pm
d