mutakhir

Mohamad Sabu tumpu isu telur, harga munasabah

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Isu bekalan barangan keperluan terutama telur dan ayam serta harga munasabah menjadi fokus utama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Mohamad berkata, isu bekalan makanan dengan harga yang munasabah memerlukan perhatian serius seiring dengan ramalan ekonomi dunia akan mengalami kemerosotan pada tahun hadapan.

Menurutnya, kementerian itu adalah lapangan baru kerana sebelum ini beliau menjadi Menteri Pertahanan yang lebih banyak bercakap soal keselamatan namun kini di bidang kehidupan manusia membabitkan makanan dan keperluan harian.

Katanya, perkara pertama yang dilakukan ialah mendengar taklimat sebelum merangka apa-apa perkara manakala agenda yang tersedia diteruskan.

"Saya akan lihat mengenai harga makanan terutama telur kerana golongan miskin sehingga atasan memakan telur di samping isu ikan dan ayam," katanya selepas sesi mengetik kad perakam waktu hari pertama memulakan tugas secara rasmi di pejabatnya hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Mohamad berkata, pihaknya akan mendapatkan gambaran situasi sebenar melalui taklimat dalam mencari kaedah yang terbaik soal keterjaminan bekalan makanan.

Menurutnya, keterjaminan makanan dengan harga munasabah itu penting malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali membangkitkan isu ini ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Katanya, selepas mendapat gambaran sebenar dan mencari kaedah terbaik, barulah satu kenyataan bersama Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan dibuat.

Ditanya sama ada isu kekurangan bekalan keperluan asas tidak berulang lagi, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, beliau tidak boleh memberi jaminan perkara sedemikian tidak berulang kerana bergantung kepada ekonomi dunia.

Katanya, peperangan yang berlaku antara Ukraine dan Russia sememangnya tidak dijangka dan akhirnya memberi kesan kepada kos baja.

"Bagaimanapun, saya bersama pegawai kementerian ini akan mencari jalan untuk cuba mengatasi dengan cara terbaik," katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2022 @ 4:24pm
d