mutakhir

Kerajaan perlu lebih masa sebelum turunkan harga bahan api - Rafizi

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Padang Serai: Kerajaan perlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan menurunkan harga runcit bahan api berikutan trend penurunan harga minyak mentah global semasa.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata banyak faktor perlu diambil kira kerajaan termasuk keupayaan kewangan semasa negara.

"Selain itu kita perlu mengambil kira peruntukan untuk aktiviti ekonomi negara yang akan beri kesan berganda. Kita perlu lihat kepada keadaan ekonomi sekarang.

"Kita juga kena tengok berapa sebenarnya pendapatan yang kita ada sekarang dan kalau kita nak ubah harga siling RM2.05 seliter berapa banyak peruntukan tambahan yang kita kena buat.

"Persoalannya, harga minyak mentah global semasa berlegar antara AS$83 (RM363.88) hingga AS$85 (RM372.64) setong dan ada yang mengatakan harga minyak mentah jatuh sejak empat dan lima bulan lalu selepas melepasi paras harga AS$100 (RM438.40) setong.

"Oleh itu, apabila harga (minyak mentah global) turun, adakah cukup untuk kita menurunkan harga runcit bahan api, sudah tentu bagi mereka yang memahami sektor minyak dan gas dia akan bertanya soalan itu," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Kampung Tunku Putra di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Pandan yang juga Timbalan Presiden PKR berkata formula harga minyak yang masih diguna pakai kerajaan sehingga ke hari ini seperti dicadangkan beliau beberapa tahun lalu kekal sebagai kaedah terbaik untuk menentukan harga bekalan bahan api itu.

Katanya, formula itu perlu dikekalkan buat masa ini kerana ia mengambil kira perubahan harga minyak mentah dunia selain perlu mengambil kira berapa harga siling yang patut dikenakan.

Ketika ini, harga mingguan RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.05 dan RM2.15 seliter manakala RON97 mencatatkan penurunan sebanyak 10 sen daripada RM3.95 kepada RM3.85 seliter.

"Semua ini perlukan lebih banyak masa untuk kita tengok satu persatu kerana bila kita sertai organisasi atau pengurusan baharu sama ada kerajaan atau syarikat kita bukan masuk dan buang semua.

"Kita ada hala tuju tapi kena tengok apa yang ada, mana yang baik dan boleh diperbaiki. Fokus mana yang kita rasa tak boleh dan buang untuk perkenalkan yang baru dan sudah tentu ia memerlukan satu proses yang memakan masa.

"Jadi bahaya juga kalau semua menteri selepas 24 jam pertama (angkat sumpah) umum macam-macam sebab itu ibarat resipi menghadapi musibah, jadi saya rasa kita kena ambil langkah demi langkah kerana ia tidak seperti menguruskan syarikat sendiri tetapi menguruskan ekonomi," katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2022 @ 11:50am
d