mutakhir

Polis buru suspek 'pau' dua jersi

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Polis mengesan lelaki disyaki menyamar sebagai 'anggota polis' apabila tidak membuat bayaran berjumlah RM69 bagi pembelian dua helai jersi dan seluar sukan di sebuah kedai di Jalan Bayam, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku pada 8.30 malam Sabtu lalu dan mangsa membuat laporan polis, semalam.

"Ketika kejadian, suspek memakai baju T warna maroon, seluar jeans dan memakai vest polis datang berseorangan dengan menaiki kereta Perodua Axia.

"Suspek bertindak memperdaya mangsa apabila tidak membuat bayaran RM69 selepas membeli dua helai jersi dan seluar sukan.

"Siasatan awal mendapati kedai mangsa dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian dilakukan oleh suspek," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Rosdi, kes berkenaan disiasat mengikut 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Wan Roziana Wan Abdul Razak di talian 013-9329644 atau 09-7752200 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di laman sosial Facebook sejak semalam memaparkan seorang lelaki memakai vest bertulisan polis sedang memilih pakaian di sebuah kedai.

Disiarkan pada: December 6, 2022 @ 1:30pm
d