mutakhir

Faisal lempar pinggan, koyak kad hari jadi

Oleh Faris Fuad

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, hari ini diberitahu ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin memukul bekas isterinya, Emilia Hanafi selama empat tahun dari 2011 secara berterusan.

Saksi pendakwaan keenam, Elisa Nani Hanafi, 38, berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Emilia yang juga kakaknya, namun meminta perkara itu dirahsiakan daripada orang lain.

Elisa Nani juga mengesahkan ada menerima gambar menerusi aplikasi WhatsApp daripada Emilia yang menunjukkan bukti dipukul oleh ahli perniagaan itu pada 20 Oktober 2015.

"Selepas menghantar gambar kesan lebam di paha dan tangan bersama kad hari jadi yang diberikan oleh Emilia kepada Faisal pada 8 malam, saya bertanya kepada kakak apa yang berlaku.

"Emilia memberitahu Faisal tiba dari luar negara antara 2 hingga 3 petang. Kakaknya serta Fawwaz (anak mereka) pergi ke lapangan terbang untuk menjemput Faisal sebagai kejutan.

"Setibanya di rumah, Emilia masak makanan sihat iaitu salmon dengan sos lemon, avocado, buah zaitun dan bayam kerana tahu Faisal sedang berdiet.

"Apabila makanan dihidangkan, Faisal melempar pinggan ke arah Emilia dan ia berkecai.

"Faisal juga campak Emilia ke lantai beberapa kali, selain mengoyakkan kad hari jadi dan mengunci bilik tidur mereka yang terletak di tingkat tiga, supaya Emilia tidak boleh masuk," katanya ketika membaca pernyataan saksi.

SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini, antara 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang pada 22 November 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 326A kanun yang sama serta boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Elisa Nani berkata, talian telefon bimbit disekat menyebabkan Emilia hanya bergantung kepada WiFi untuk menggunakan Internet pada 2015.

SM Faisal juga didakwa melarang Emilia meninggalkan rumah, menyebabkan dua beradik itu hanya berkomunikasi melalui WhatsApp.

"Beberapa kisah menyenangkan dikongsikan adalah Emilia dan Faisal keluar melakukan aktiviti sebagai keluarga dan membuat projek sekolah anak, selain mengenai menu harian memandangkan kakaknya suka memasak yang menjadi antara hobi dia.

"Cerita yang tidak menyenangkan ketika Faisal berada di rumah. Sebagai contoh, Emilia terpaksa mematikan telefon atau meletakkannya dalam mod senyap serta menyembunyikannya.

"Emilia memberitahu jika Faisal melihatnya menggunakan telefon, ia akan dirampas dan dicampak atau dipecahkan di atas lantai seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nadia Othman bersambung 5 Januari hadapan.

Disiarkan pada: December 6, 2022 @ 3:13pm
d