mutakhir

Perlu komunikasi dengan pemain industri

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Kuala Lumpur: Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menyarankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang dengan pihak industri supaya masalah bekalan telur di negara ini dapat diselesaikan dengan situasi menang-menang.

Beliau berkata, apa yang dilakukan kerajaan untuk mengimport bekalan dari negara sumber bukanlah situasi sebenar yang dihadapi oleh negara kini.

"Kerajaan perlu berkomunikasi dengan pihak industri, supaya dapat mencapai situasi menang-menang atau kata sepakat yang terbaik.

"Ia termasuk meningkatkan subsidi telur bagi menggalakkan penternak ini meningkatkan pengeluaran serta memastikan rakyat dapat membeli telur dengan harga lebih rendah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Anwar dalam sidang medianya memaklumkan sudah berbincang dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu untuk mengumumkan mengenai harga telur ayam yang lebih rendah.

Dominic turut mempersoalkan sama ada kerajaan faham akan punca sebenar mengapa berlakunya kekurangan bekalan telur dalam negara.

"Adakah kerajaan faham punca utama kekurangan telur di pasaran ketika ini? Bukan disebabkan oleh masalah kapasiti pengeluaran, tetapi soal harga dan subsidi.

"Dilema sebenar yang dihadapi oleh penternak ayam dan telur kini adalah kos makanan ayam yang tinggi, walaupun dengan subsidi yang diberikan oleh kerajaan, mereka masih tidak dapat mengimbangi harga kos berkenaan.

"Ia menyebabkan penternak menghadapi masalah aliran tunai yang serius, sekaligus menjadi punca banyak ladang kecil gulung tikar. Malah penternak juga perlu mengurangkan pengeluaran bagi mengurangkan risiko kerugian," katanya.

Tambahnya, pengumuman kerajaan mengimport telur itu bukannya penyelesaian kepada isu sebenar kerana harga telur import itu sudah pasti lebih tinggi berbanding keluaran ladang di negara ini.

"Walaupun langkah ini dapat menstabilkan bekalan telur di pasaran, tetapi rakyat terpaksa makan telur yang mahal dan harga makanan lain yang berasaskan telur seperti kek, biskut, roti dan makanan lain juga akan meningkat," katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 6:59pm
d