mutakhir

KKOM kini dikenali Kementerian Komunikasi dan Digital

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOM) kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Digital.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata pertukaran nama itu disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

"Saya ingin maklumkan secara rasminya bahawa nama kementerian ini ialah Kementerian Komunikasi dan Digital, The Ministry of Communications and Digital. Ini disahkan oleh KSN pada pagi tadi," katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohamad Mentek.

Ditanya sama ada agensi sebelum ini diletakkan di bawah KKOM, seperti kebudayaan masih kekal di bawah kementeriannya, beliau berkata agensi berkaitan seni dan budaya akan diletakkan di bawah kementerian lain.

"Mesyuarat jemaah menteri pada hari ini memutuskan bahawa aspek seni dan budaya itu bukan di bawah kementerian ini tetapi mungkin pada waktu ini saya serahkan pada menteri berkenaan untuk buat pengumuman," katanya.

Mengulas mesyuarat Kabinet pagi tadi, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, mesyuarat berjalan dengan suasana sangat positif dan produktif.

"Mulanya saya jangkakan mungkin tempoh mesyuarat itu lama tetapi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) nampaknya ingin kita semua bekerja dengan pantas, banyak tugas yang perlu dilaksana.

"Antara isu tumpuan terutamanya kos sara hidup, berkait urus tadbir yang lebih baik dan juga meneliti masalah ketirisan dan aspek penjimatan yang boleh dilakukan.

"Perdana Menteri juga sudah arah semua menteri potong gaji 20 peratus tapi lebih daripada itu beliau mahu menteri untuk tumpukan kepada tugas terutama memastikan kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 7:09pm
d