mutakhir

Program khatam al-Quran jadi majlis tahlil

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Md Razif Shahid sempat menyiapkan tugasan terakhirnya di pejabat sebelum maut dalam nahas jalan raya, kelmarin.

Rakan sekerjanya, Abdul Razak Aman yang juga Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai Sektor Pendidikan Islam, JPN Melaka berkata, arwah tetap hadir menguruskan program khatam al-Quran yang dijadualkan Jumaat ini, biarpun sedang bercuti dua hari selepas pulang daripada Kejohanan Sukan Persatuan Guru-guru Agama SeMalaysia di Sabah, Ahad lalu.

Katanya, seramai 46 peserta dari Melaka menyertai kejohanan itu dengan arwah bertindak sebagai Chef de Mission.

"Kami tiba di Melaka agak lewat iaitu sekitar 2 pagi dari KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan arwah mengambil cuti semalam dan kelmarin.

"Namun, sekitar 10 pagi kelmarin arwah datang ke pejabat kerana mahu menyiapkan surat berkaitan program terakhir tahun ini iaitu khatam al-Quran dan kami banyak bersembang hal di Sabah.

"Arwah juga bercerita semula kes kematian seorang peserta dari Kelantan yang bermain takraw dengan katanya 'Allah ambil nyawa pemain itu dalam 15 minit saja selepas mengadu sakit kepala'," katanya dihubungi di sini.

Abdul Razak berkata, itu perbualan terakhirnya bersama arwah yang disifatkan seorang rakan yang baik dan komited terhadap kerja.

Menurutnya, dia terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada rakan kira-kira 15 minit selepas arwah beredar dari pejabat, yang memaklumkan kemalangan itu.

Abdul Razak juga sempat ke lokasi kemalangan di Lebuh AMJ dekat Paya Dalam, namun tidak dapat mendekati arwah kerana kawasan kejadian dikawal anggota bomba.

"Saya reda biarpun amat sedih dengan pemergiannya. Arwah sempat menyelesaikan semua kerja-kerjanya hingga tugasan terakhir. Nampaknya program khatam al-Quran, Jumaat ini akan juga menjadi majlis tahlil untuk arwah," katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 8:03pm
d