mutakhir

MUIP agih bantuan zakat RM3.8 juta kepada agensi berkaitan

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan bantuan zakat RM3.8 juta kepada agensi utama tempatan di negeri ini bagi menjalankan aktiviti kebajikan dirancang.

Agensi terbabit ialah 11 rumah anak yatim menerima sebanyak RM220,000 termasuk 12 pengurusan masjid masing-masing menerima van jenazah bernilai RM1.7 juta dan 14 badan bukan kerajaan (NGO) menerima bantuan RM280,000.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, turut menerima bantuan ialah sembilan agensi kesihatan seperti Majlis Kanser Nasional (Makna), hospital dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital (JKSP) yang menerima sebanyak RM1.6 juta.

Menurutnya, MUIP menyediakan 48 jenis bantuan zakat kepada golongan asnaf di negeri ini antaranya bantuan kewangan, peralatan, keperluan asas, kediaman, pembangunan masjid dan pendidikan.

Bagi bantuan kewangan ada diberikan secara berterusan setiap bulan dan ada juga sekali bayar.

Katanya, program pembangunan golongan asnaf fakir miskin mencatat perbelanjaan tertinggi sebanyak RM88.5 juta membabitkan bantuan kewangan bulanan kepada 9,071 penerima termasuk membina sebanyak 104 unit rumah serta baik pulih 248 unit.

"Kita menyediakan bantuan pendidikan sebanyak RM40.3 juta kepada 28,512 pelajar yang menyambung pengajian dalam dan luar negara diikuti RM20.9 juta bagi pembangunan masjid dan surau membabitkan pelbagai aktiviti sepanjang tahun.

"Sebanyak RM8.3 juta untuk program dakwah dan pembangunan golongan mualaf serta RM6.8 juta digunakan untuk program bantuan kesihatan asnaf membabitkan seramai 1,652 penerima," katanya pada Majlis Agihan Zakat kepada rumah anak yatim, NGO dan masjid di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MUIP, Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahmad Hairi berkata, setiap agensi terbabit menerima bantuan zakat sebanyak RM20,000 yang diharap dapat melancarkan lagi setiap program yang dirancang tahun depan.

Sementara itu, Pengasas Dapur Infaq Ummah Kuantan, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, pihaknya sebelum ini menerima bantuan daripada MUIP bagi menjayakan program menyediakan makanan kepada golongan gelandangan di Jalan Wong Ah Jang, di sini.

"Tanpa bantuan MUIP kita agak sukar untuk bergerak membantu gelandangan dan mereka yang memerlukan di Jalan Wong Ah Jang dan lorong Pasar Besar Kuantan," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2022 @ 12:15pm
d