mutakhir

Sanggup menipu dapatkan bantuan zakat

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mendedahkan tindakan segelintir pemohon zakat yang cuba memperdayakan organisasi berkenaan untuk mendapat bantuan kewangan.

Baitulmal MAIWP dalam kenyataannya berkata, ada pemohon memberikan maklumat pendapatan yang tidak telus serta meragukan ketika pihaknya melakukan ziarah ke kediaman pemohon dan penerima bantuan zakat.

"Terdapat pemohon yang menamatkan zaman duda, janda dan balu dengan mendirikan rumah tangga tetapi menafikan dan merahsiakan status perkahwinan mereka termasuk mengaku masih bujang dan tiada pasangan (untuk mendapatkan bantuan kewangan).

"(Ada juga) pemohon yang memberikan maklumat pendapatan tidak telus dan meragukan. (Selepas) semakan dan penelitian dibuat, ada antaranya menyembunyikan maklumat seperti menerima pencen, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hasil sewaan rumah, hasil perniagaan, kerja sambilan dan pemberian anak.

"(Ada kes) pemohon warga emas yang mendakwa tinggal seorang diri dan sebatang kara tanpa waris ataupun tidak diendahkan ahli keluarga, (sebaliknya) didapati tinggal bersama anak yang mempunyai pekerjaan baik, selain menerima pendapatan lumayan," kata kenyataan itu menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, ada juga kes penipuan membabitkan pemohon yang menggunakan alamat di Kuala Lumpur dan mendakwa bermastautin di kawasan itu semata-mata untuk mendapatkan bantuan zakat.

"Malangnya apabila Skuad Ziarah Asnaf melakukan ziarah di kediaman mereka, rumah itu didapati didiami orang lain dan ada juga yang kosong tidak berpenghuni," katanya.

Menerusi perkongsian itu, Baitulmal MAIWP mengakui ia cabaran yang perlu dihadapi organisasi itu dalam menjalankan tugas menyampaikan amanah kepada masyarakat, khususnya umat Islam di negara ini.

"MAIWP menerima amanah pembayar zakat sudah semestinya menjadi kewajipan kami memastikan setiap wang zakat dibelanjakan kepada yang benar," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2022 @ 1:19pm
d