mutakhir

Syabu RM13.26 juta dirampas, 4 lelaki termasuk pelajar ditahan [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Polis merampas dadah jenis Methamphetamine (syabu) bernilai RM13.26 juta dan menahan empat lelaki tempatan di sekitar Putrajaya, Isnin lalu.

Pelajar sebuah akademi serta pekerja kedai makan antara yang ditahan dalam operasi serbuan terbabit.

Ketua Polis Selangor berkata Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata operasi menumpaskan sindiket pengedaran dadah itu dijalankan di dua lokasi berbeza iaitu di kawasan pusat beli belah dan kondominium di Putrajaya.

"Kira-kira jam 1.40 tengah hari, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menangkap empat lelaki berumur lingkungan 22 hingga 37 tahun di kawasan parkir pusat beli belah berkenaan.

"Ketika serbuan dijalankan, suspek yang bertindak sebagai 'transporter' sedang dalam urusan pemindahan dadah terbabit.

"Hasil serbuan, polis merampas 350 bungkusan plastik disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 355.75 kg di dalam kenderaan jenis Toyota Vellfire di parkir terbabit,'" katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Arjunaidi berkata, susulan tangkapan terbabit pihaknya menjalankan serbuan kedua di sebuah kondominium di kawasan itu pada hari sama.

"Dalam serbuan itu, polis menemui dan merampas 23 bungkusan mengandungi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 23.09 kg di sebuah bilik dalam kondominium berkenaan.

"Rampasan keseluruhan berjumlah 373 terdiri daripada 372 bungkusan plastik Chinese Tea dan satu bungkusan plastik lutsinar dengan anggaran 378.84 kg.

"Siasatan mendapati, bekalan dadah yang dari negara jiran itu dipercayai untuk pasaran tempatan," katanya.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati tiga suspek mempunyai mengikut Seksyen 39B dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 394 dan 395/170 Kanun Keseksaan.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek disahkan positif dadah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita aset berjumlah RM240,504 membabitkan dua kenderaan iaitu Nissan Navara dan Honda CR-V, akaun bank serta jam tangan Tissot.

"Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 12 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB.

"Jika disabitkan kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur umur dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2022 @ 4:38pm
d