mutakhir

Lelaki ditemukan maut selepas ditipu RM156,000

Oleh Mohd Rafi Mamat

Temerloh: Lelaki ditemukan maut di sebuah bangsal dalam kebun durian di Jalan Felcra Kerdau, di sini selepas wang simpanannya sebanyak RM156,000 lesap diperdaya sindiket penipuan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 12.23 tengah hari semalam.

"Siasatan awal mendapati mangsa diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai wakil syarikat kurier dan polis.

"Difahamkan mangsa mengalami kerugian dan ekoran kejadian itu, dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah gelabah sekiranya menerima sebarang panggilan yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau dari mana-mana pihak.

Mohd Azhar berkata, bagi mengelak terpedaya individu terbabit perlu membuat semakan terlebih dulu dengan agensi berkaitan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dan membuat pertanyaan berkaitan kesalahan jenayah komersial melalui aplikasi WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111222 atau menghubungi CCID scam response centre ditalian 03-26101599/03-2610 1559," katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2022 @ 4:08pm
d