mutakhir

1.4 juta pekerja asing berdaftar di Malaysia [METROTV]

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Jabatan Imigresen (JIM) meluluskan 373,459 permohonan untuk membawa masuk pekerja asing melalui Visa Dengan Rujukan (VDR) ke negara ini bagi tempoh 1 Januari hingga 4 Disember lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah VDR diluluskan, hanya 254,677 pekerja asing atau 68 peratus dibawa masuk ke negara ini untuk bekerja dalam pelbagai sektor, antaranya perkilangan dan perladangan.

"Biarpun permohonan majikan lulus, tetapi majikan tidak (belum) membawa semua pekerja asing ke negara ini atas pelbagai faktor antaranya kos kewangan dan sistem di negara sumber yang perlu dipatuhi," katanya selepas taklimat pengoperasian JIM bersama pengurusan tertinggi agensi itu di sini, semalam.

Angka berkenaan adalah sebahagian daripada 403,869 permohonan diterima untuk membawa masuk pekerja asing, manakala baki permohonan belum lulus sebanyak 30,410 sedang diproses.

Saifuddin Nasution berkata jumlah pekerja asing semasa yang berada di Malaysia ketika ini adalah seramai 1.4 juta orang yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara.

Jumlah itu antaranya meliputi sektor perkilangan (510,507 pekerja asing), pembinaan (308,886), perkhidmatan (208,425) dan pertanian (110,598).

Sementara itu, beliau berkata JIM juga telah mengeluarkan sebanyak 2.27 juta pasport bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November lalu, yang menunjukkan trend permohonan tinggi pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam negara.

"Hampir 2.3 juta berjaya diuruskan prosesnya oleh Jabatan Imigresen, saya fikir ia satu angka tinggi, yang tidak membayangkan bahawa jabatan ini tidak mempunyai budaya kerja yang cekap, (sebaliknya) beri keselesaan kepada rakyat," katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Disiarkan pada: December 9, 2022 @ 4:30pm
d