mutakhir

Pemandu lari tinggal 11 Pati Myanmar dalam van

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar termasuk seorang wanita dan kanak-kanak ditahan selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis menahan sebuah van di Sungai Laka, Changlun, di sini hari ini.

Kejadian berlaku jam 1.30 pagi apabila lima anggota Bahagian Penguat Kuasa JIM Perlis sedang menjalankan 'Ops Kutip' di kawasan Simpang 3, Kubang Tiga, Padang Besar.

Pengarah Imigresen Perlis, Khairul Amin Talib berkata, ketika operasi dijalankan, penguat kuasa terserempak dengan sebuah van putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sekitar di kawasan itu.

"Kita kemudian mendekati van berkenaan namun secara tiba-tiba, pemandu van itu terus memecut laju ke arah Changlun, Kedah.

"Keadaan itu menyebabkan kita mengejar van itu sejauh 10 kilometer sebelum kenderaan itu memasuki jalan mati di Lorong 18, Kampung Eriang, yang terletak Mukim Sungai Laka, Changlun," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, pemandu van dan seorang penumpang di tempat duduk hadapan melarikan diri dan meninggalkan penumpang lain di bahagian belakang.

"Selepas menyedari mereka terperangkap di jalan mati, pemandu dan seorang penumpang melarikan diri dan meninggalkan van itu.

"Anggota imigresen kemudiannya mendapati terdapat sembilan lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang dipercayai warga asing berada di dalam van berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati penumpang dipercayai adalah warga Myanmar berusia antara 10 hingga 49 tahun dan mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah untuk memasuki dan berada di negara ini," katanya.

Beliau berkata, semua Pati ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan dibawa ke pejabat Imigresen Kangar untuk siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Pati dan sebarang jenayah berkaitan supaya melaporkan segera kepada mana pejabat Imigresen yang terdekat.

Disiarkan pada: December 9, 2022 @ 5:14pm
d