mutakhir

Kerajaan Persekutuan perlu bantu selesai isu pesawah - MB Kedah [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Jitra: Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta kerajaan Persekutuan membantu pesawah dengan menyelesaikan beberapa isu yang mencengkam kehidupan mereka sejak sekian lama.

Katanya, ini kerana kebanyakan isu yang membabitkan pesawah ketika ini terletak di bawah bidang kuasa agensi kerajaan Persekutuan dan tidak mampu diselesaikan dengan hanya memberikan bantuan bernilai puluhan juta ringgit setahun.

"Contohnya, dalam isu timbangan padi. Sekarang ini timbangan dijalankan di kilang-kilang padi hanya melibatkan pemandu lori serta tauke kilang saja tetapi siapa yang pergi periksa timbangan itu betul atau tidak?

"Pesawah yang menjual padi itu hanya duduk rumah serta menerima resit saja dan saya difahamkan, walaupun pokok padi tahun itu tampak berat, tunduk semua tetapi timbangannya tetap sama saja macam tahun lepas dengan kadar purata bagi keluaran padi di Kedah ini puratanya adalah enam tan untuk satu hektar.

"Mengapa boleh jadi begitu sedangkan apabila Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) buat sistem penanaman dan timbangan padi sendiri, mereka boleh dapat hingga tujuh tan pada musim pertama dan lapan tan pada musim kedua? Padi dihasilkan itu berada di petak berdekatan dengan padi-padi milik orang lain dan itu antara perkara perlu diberi perhatian," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kubang Pasu di Batu 18 di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi baru-baru ini membangkitkan isu berkenaan isu kemiskinan pesawah miskin di laman Facebooknya.

Muhammad Sanusi bagaimanapun berterima kasih dengan usaha dilakukan kerajaan untuk membantu pesawah seperti diumumkan sebelum ini dengan pengagihan kewangan berjumlah puluhan juta ringgit seperti diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

"Kita berterima kasih tetapi itu bukan penyelesaian jangka masa panjang. Kerajaan negeri dah banyak kali bercakap tentang perkara ini dan kerajaan Persekutuan kenalah ambil perhatian," katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2022 @ 6:17pm
d