mutakhir

3 maut termasuk bayi yang tercampak keluar kereta

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Manjung: Tiga maut, manakala dua lagi cedera akibat kemalangan jalan raya di Jambatan Raja Permaisuri Bainun, Sitiawan, Seri Manjung, dekat sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd Azizi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.13 malam.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dan kenderaan utiliti sukan (SUV).

Katanya, suami isteri masing-masing berusia 33 dan 32 tahun dalam keadaan tersepit di dalam kereta, manakala seorang bayi berusia dua tahun tercampak ke luar dari kenderaan sama.

"Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat khas.

"Ketiga-tiganya disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Dua orang lagi mangsa yang cedera (dari SUV berkenaan) diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut.

"Punca kemalangan masih dalam siasatan kerana tiada saksi di tempat kejadian, namun pihak kami percaya kedua-dua kereta bertembung," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, kemalangan juga mengakibatkan SUV itu terbakar 80 peratus.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.35 malam dan dipadam sepenuhnya pada 11.45 malam.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.32 pagi.

Disiarkan pada: December 11, 2022 @ 9:36am
d