mutakhir

Bekalan telur ayam masih belum mencukupi

Oleh Izzati Zaidi

Kuala Lumpur: Bekalan telur ayam jenis omega didapati antara yang masih banyak dijual di kedai runcit berbanding telur gred biasa di sekitar Lembah Klang.

Tinjauan Harian Metro di Pantai Dalam mendapati bekalan telur ayam masih belum pulih sepenuhnya dan hanya ada dalam kuantiti yang sedikit.

Malah, sesetengah premis didapati kehabisan stok telur ayam gred biasa.

Menurut peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Ali, berkata, pembekal hanya memberi 10 hingga 20 papan sahaja dan kehabisan stok seawal jam 12 tengah hari.

"Pembekal hantar telur ayam dalam jumlah yang sedikit itupun hanya dua ke tiga kali dalam seminggu sahaja mereka membekalkan kami dengan telur ayam gred biasa selebihnya hanya ada telur jenis omega dijual.

"Telur omega dijual pada harga RM7.50 yang hanya ada 10 biji berbanding sepapan telur ada 30 biji dijual pada harga RM15 untuk kesemua jenis gred A, B mahupun C di kedai ini.

"Kebanyakan pelanggan terutama sekali peniaga memang cari telur papan tetapi bekalan memang terhad waktu ini dan mereka tidak mahu menggantikan dengan telur omega sebagai alternatif kerana agak mahal," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit Yusoff Zambri turut meluahkan perkara yang sama berkaitan lambakan telur omega di kedainya.

Sama seperti peniaga kedai runcit lain, dia menyatakan hanya bekalan telur jenis omega yang masih berbaki di kedainya.

"Buat masa sekarang memang kedai saya tidak mempunyai bekalan telur ayam papan yang ada hanyalah telur omega dan dijual dalam lingkungan RM7 hingga RM9," katanya.

Bagi peniaga kuih dan nasi lemak, Nor Aishah, 31, mengakui rak di kedai dipenuhi dengan telur jenis omega.

"Nak dapatkan telur sepapan pun sukar sekarang ini dan sebagai peniaga yang memerlukan penggunaan telur yang banyak, telur omega bukan pilihan terbaik kerana harga agak mahal berbanding harga sepapan telur ayam yang sering dibeli pada harga RM13.

"Kalau ada telur papan pun setengah premis mengehadkan kepada dua hingga tiga papan sahaja tapi kebiasaannya cepat habis dan ada masa saya hanya dapat satu papan sahaja," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lambakan bekalan telur premium di pasaran ketika ini berbanding telur gred biasa adalah disebabkan telur jenis itu tidak mendapat permintaan utama pengguna.

Disiarkan pada: December 12, 2022 @ 5:14pm
d