mutakhir

'Pemandu sudah ditahan, itu kejadian lama...'

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis mengesahkan menahan pemandu treler yang melarikan diri selepas dikatakan menjadi penyebab kemalangan mengakibatkan seorang parah di KM69, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik seperti dipaparkan video tular sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata, bagaimanapun ia adalah kejadian lama yang berlaku lebih sebulan lalu iaitu pada 29 Oktober lalu.

Beliau berkata, kemalangan itu berlaku pada kira-kira 11 pagi membabitkan treler muatan siling bersama tiga kenderaan lain, mengakibatkan seorang wanita berumur 31 tahun parah manakala beberapa mangsa lain cedera ringan.

Katanya, kemalangan berpunca daripada muatan siling warna putih yang dibawa oleh treler semasa melalui kawasan selekoh ketika dalam perjalanan dari arah Gerik menghala Jeli, terjatuh dan menimpa sebuah kereta jenis Subaru Forester yang dinaiki wanita terbabit.

"Kemalangan turut membabitkan tiga kenderaan lain yang melalui jalan yang sama pada hari kejadian, di mana dalam kejadian ini pemandu Subaru Forester iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun tidak cedera manakala isterinya parah dan dirujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, pemandu treler itu iaitu lelaki berusia 47 tahun ditahan pada hari yang sama ketika dia melalui sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang dekat Jeli, Kelantan serta sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk disiasat lanjut.

Zulkifli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan kertas siasatan juga sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Sejak semalam, tular sebuah video rakaman kamera papan pemuka kenderaan berdurasi 16 saat memaparkan kejadian muatan barangan yang dibawa oleh sebuah treler sedang bergerak terjatuh lalu hampir menghempap kereta yang sedang bergerak dari arah bertentangan.

Seorang pengguna media sosial yang mendakwa sebagai mangsa insiden itu tampil meluahkan isi hatinya dengan mendakwa selain isterinya parah susulan insiden itu, bayi sulung mereka turut terkorban akibat dari kecuaian pemandu treler terbabit

Disiarkan pada: December 12, 2022 @ 11:24pm
d