mutakhir

Mayat duda ditemukan di tepi tangga rumah

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai menggantung diri di kediamannya di Presint 11, di sini hari ini.

Dalam kejadian 10.10 pagi itu, mangsa berstatus duda berusia 43 tahun dilihat jiran di tepi tangga tingkat bawah rumahnya.

Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, polis menerima panggilan jam 10.22 pagi.

Menurutnya, pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikejarkan ke lokasi terbabit dan memecah masuk ke kediaman mangsa pada 10.58 pagi.

Katanya, kematian mangsa disahkan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Hasil siasatan, jiran memaklumkan kali terakhir melihat mangsa pada Sabtu lalu kira-kira 10 pagi dalam keadaan sihat, "katanya.

Menurutnya, hasil siasatan pasukan forensik mendapati tiada unsur jenayah dan kesan kecederaan.

Katanya, pintu rumah mangsa juga dalam keadaan berkunci dan tiada kesan pecah masuk atau kesan umpil manakala barangan peribadi mangsa juga turut ditemui.

"Mangsa tinggal bersendirian selepas bercerai empat tahun lalu mempunyai tiga anak yang tinggal bersama bekas isteri disebabkan mangsa mengalami kesihatan mental," katanya.

Asmadi berkata, terdapat laporan perubatan daripada Klinik Psikiatrik Hospital Putrajaya mangsa mengalami satu fasa kemurungan dan sedang menerima rawatan di klinik berkenaan sejak September tahun ini.

Katanya, mangsa juga mengambil ubat rawatan jenis Risperidone (ubat yang membantu dengan gejala beberapa keadaan kesihatan mental seperti Skizofrenia).

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat, "katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2022 @ 9:19pm
d