mutakhir

Pelajar didakwa lakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Pelajar tahun akhir sebuah kolej dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Adib Hishammuddin, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, dia yang sedang mengikuti jurusan elektrik didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Taman 1 Bukit Beruang antara jam 4 petang hingga 9 malam, 14 November lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan itu terhadap kanak-kanak sama di tandas awam dan bilik persalinan perempuan bersebelahan Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh pada 20 November lalu, kira-kira jam 12 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang mengikuti latihan di Perak itu dikatakan mengenali mangsa melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan mangsa dan semua saksi tidak boleh diganggu sehingga perbicaraan selesai.

Peguam Andrew Lourdes bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh sedang belajar dalam semester akhir.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Tarikh 11 Januari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Disiarkan pada: December 14, 2022 @ 2:03pm
d