mutakhir

Safiey 'mengelat' nak bayar hutang?

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Lama menyepi dari dunia media sosial hingga timbul dakwaan usahawan kontroversi Safiey Ilias, 26, lari daripada beberapa pihak yang mahu menuntut hutang.

Malah, tindakan Safiey atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias yang terpaksa menjual rumah terletak di Sunway Montana di sini, selain kereta mewah Mustang sekitar Februari lalu menguatkan lagi dakwaan dia sudah muflis.

Namun Safiey yang pernah merakamkan lagu Syinta Gila kembali dilihat muncul di Instagram dengan memuat naik hantaran beberapa video terbaharu.

Dalam masa sama Safiey turut memuat naik tangkap layar mesej yang menunjukkan dirinya sudah menjelaskan hutang dengan beberapa individu.

Safiey berkata, 'kehilangannya' sebelum ini tiada kaitan dengan isu hutang tapi mengalami masalah kesihatan bipolar yang ditanggung sejak sekian lama.

"Saya akui memang ada berhutang dengan beberapa pihak. Mereka tahu apa masalah saya hadapi. Saya berterima kasih kerana mereka sudi membantu dalam keadaan saya memerlukan dan terdesak. Sejak beberapa bulan lalu saya mula menjelaskan hutang itu sedikit demi sedikit.

"Apabila saya ambil keputusan untuk kembali aktif di media sosial, ia bermakna saya tidak lari atau hilang terus. Saya tetap memberikan komitmen untuk membayar hutang. Saya tidak pernah tipu sesiapa. Cuma, saya harap mereka bersabar. Saya tetap bayar.

"Selama ini saya berdiam diri sebab masih dalam tempoh rawatan masalah kesihatan bipolar. Atas nasihat doktor, saya perlu mengambil ubat dan berehat. Alhamdulillah, selepas segalanya beransur baik, barulah saya muncul semula," katanya.

Menurutnya, dia kini dalam proses membina semula perniagaan dan mahu bangkit semula selepas melalui episod hitam dalam hidup.

Terdahulu, seorang pengguna di Facebook memuat naik hantaran yang mendakwa Safiey menipu dan enggan membayar hutangnya.

Disiarkan pada: December 15, 2022 @ 7:56am
d