mutakhir

Lelaki ditahan simpan bahan pornografi kanak-kanak [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Lelaki tempatan ditahan selepas didapati memiliki bahan pornografi kanak-kanak dalam serbuan di rumahnya di Klang, Selangor, Selasa lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, serbuan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah suspek berusia 39 tahun itu mendapati terdapat sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer milik lelaki berkenaan.

"Susulan itu, pihak polis merampas komputer, cakera keras luaran, penghala (router) dan telefon bimbit milik suspek dalam serbuan terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, siasatan mendapati suspek turut berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak terbabit serta memuat turun bahan pornografi kanak-kanak menggunakan media sosial.

"Kejayaan tangkapan ini adalah hasil kerjasama antara PDRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

"Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 17 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti mangsa yang terbabit dalam kes itu.

Disiarkan pada: December 15, 2022 @ 9:44am
d