mutakhir

Polis tahan remaja, sita 15 basikal lajak

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Tindakan remaja lelaki menunggang basikal lajak di kawasan PJS 1 hingga PJS 5, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis yang menjalankan operasi penguatkuasaan hasil aduan awam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Petaling Jaya pada 1 dan 3 Disember lalu.

Menurutnya, sepanjang operasi juga, seramai 52 penunggang basikal lajak diperiksa membabitkan individu seawal usia sembilan hingga 14 tahun.

"Sebanyak 11 keping saman Pol 257 dikeluarkan mengikut kaedah 42(1) ln 165/59 yang menyatakan tiada seorang pun boleh menunggang basikal di atas jalan melainkan dilengkapi dengan brek efektif yang beroperasi secara berasingan pada kedua-dua tayar.

"Tangkapan dan 15 sitaan basikal dilakukan mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan penunggang basikal lajak ditangkap tanpa waran seperti diperuntukkan Seksyen 112(1)(a) akta sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, ibu-bapa dan penjaga kepada setiap penunggang basikal lajak bawah umur ini sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling

Jaya dan diberi peringatan mengenai tanggungjawab mengawasi dan memastikan keselamatan anak masing masing.

"Selain itu, ibu bapa kepada anak yang terbabit dalam kegiatan basikal lajak hingga membahayakan diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan denda tidak

lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2022 @ 8:55pm
d