mutakhir

Aktiviti perkhemahan bukan anjuran sekolah

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Sungai Buloh: Aktiviti perkhemahan di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali, dekat Kuala Kubu Bharu, di sini bukan aktiviti rasmi sekolah.

Yang Dipertua Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, U Chin Ong berkata, sebaliknya ia hanya aktiviti bersama guru dan rakan-rakan mereka sendiri.

"Ini bukan aktiviti anjuran sekolah atau PIBG, ia program anjuran bersama rakan-rakan.

"Mereka dipercayai berkhemah di kawasan itu sejak Rabu lalu, kami juga (PIBG) baru diberitahu hari ini berhubung aktiviti ini,"katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod pihaknya hanya tujuh guru menyertai perkhemahan, manakala bakinya adalah anggota keluarga dan rakan mereka.

"Saya diberitahu mereka akan mendaftar keluar pada hari ini, semua tujuh guru itu adalah wanita.

"Setakat yang diberitahu 23 individu dari sekolah ini, manakala bakinya pengusaha kantin, keluarga guru dan rakan mereka," katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2022 @ 7:28pm
d