mutakhir

Tragedi tanah runtuh: Peluang jumpa mangsa hidup tipis

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Hulu Selangor: Peluang menemukan 12 mangsa yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya, di sini, hidup amat tipis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, ini susulan keadaan runtuhan tanah yang tebal, berlumpur, berbatu serta masih terdapat aliran air.

"Kejadian memasuki hari kedua dan peluang menemukan mangsa yang masih hidup amat tipis.

"Bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan mangsa masih hidup jika terdapat ruang pada tanah yang tertimbus," katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Norazam berkata, masih terdapat aliran air bawah tanah di lokasi yang boleh menyebabkan gelongsoran.

"Disebabkan itu kita mengehadkan pertambahan anggota. Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk memasang sistem di tiga lokasi yang berkemungkinan berlaku gelongsoran.

"Jika berlaku gelongsoran, tanah akan turun dan ini menyebabkan kita hadkan jumlah pasukan penyelamat," katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2022 @ 12:46pm
d