mutakhir

Tragedi tanah runtuh: Su Lee hilang anak, menantu dan dua cucu [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Sungai Buloh: "Saya sekarang nak ke tempat itu (krematorium)," kata Beh Su Lee, 59, ibu mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor, kelmarin.

Su Lee kehilangan empat anggota keluarga sekelip mata membabitkan anak perempuan berusia 35 tahun, menantu berumur 34 tahun dan dua cucu masing-masing berumur 6 dan setahun.

Dia yang menetap di Sabak Bernam berkata, tiga ahli keluarganya itu sudah dikenal pasti sejak semalam, sementara seorang lagi hari ini.

"Saya kehilangan empat keluarga. Anak perempuan, menantu lelaki dan dua cucu. Semalam dah berjaya kenal pasti tiga orang dan seorang lagi sebentar tadi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Kesemua empat mayat itu dituntut Su Lee dan ahli keluarga lain sebelum dibawa keluar menggunakan dua kenderaan Pusat Peringatan Nirvana.

Setakat jam 1.25 tengah hari, enam daripada 21 mayat sudah dituntut ahli keluarga masing-masing menjadikan baki tiga lagi mayat yang masih berada di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, pengamal media yang mula berada di perkarangan Jabatan Forensik, di sini, sejak awal pagi tadi masih menunggu kemas kini dan maklumat lanjut daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Disiarkan pada: December 18, 2022 @ 2:11pm
d