mutakhir

Jasa Pop, Blake, Denti, Frankie, Lady, Grouse

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Hulu Selangor: Anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berpengalaman mengesan mayat berjaya menjumpai enam mayat mangsa tragedi runtuhan cerun di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali, di sini.

Enam anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM yang digunakan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengesan tiga mayat pada hari pertama manakala tiga lagi mayat dikesan pada hari kedua.

Anjing pengesan yang digunakan itu bernama Pop, Blake, Denti, Frankie, Lady dan Grouse.

Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, haiwan pengesan yang digunakan dalam operasi itu mempunyai kepakaran dan terlatih dalam mengesan mayat di dalam tanah serta air.

"Anjing dari baka English Springer Spaniel dan Labrador berusia enam tahun berpengalaman dalam pelbagai operasi SAR bagi mengesan mayat mangsa.

"Setiap anjing mempunyai kepakaran berbeza membabitkan empat disiplin pencarian iaitu mengesan mayat, forensik, kebakaran dan menjejak mangsa hidup.

"Dalam operasi kali ini, anjing digunakan berkepakaran mengesan mayat sehingga tahap tiga hingga empat meter di dalam tanah," katanya dalam sidang media di lokasi hari ini.

Mengenai operasi SAR pada hari ketiga, Norazam berkata, sebanyak 11 anjing pengesan digunakan iaitu enam milik JBPM, empat milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, kesemua anjing pengesan berkenaan digerakkan secara bergilir bermula jam 9 pagi, namun tidak mengesan sebarang penemuan baharu.

"Setiap anjing pengesan mampu bertugas antara 20 hingga 30 minit dan selepas itu akan direhatkan sebelum menyambung pencarian. Anjing pengesan itu juga boleh bertugas dalam masa panjang sehingga 12 jam," katanya.

Terdahulu, unit K9 yang terbabit dalam operasi SAR mangsa runtuhan cerun itu mencuri perhatian netizen di media sosial yang kagum melihat kecekapan dan ketangkasan dalam operasi berkenaan.

Disiarkan pada: December 18, 2022 @ 8:59pm
d