mutakhir

Bomba Kedah hantar aset bantuan ke Kelantan [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menghantar aset dan anggotanya untuk membantu operasi menyelamat di Kelantan berikutan banjir di negeri pantai timur itu semakin buruk.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, setakat ini satu lori bomba bersama dua anggota dihantar ke Kelantan, malam tadi.

Menurutnya, bantuan dan aset tambahan ke negeri pantai timur itu akan ditambah sekiranya banjir bertambah buruk sepanjang musim tengkujuh ini.

"Kami menerima arahan daripada Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya untuk menghantar bantuan kepada negeri-negeri yang dilanda banjir baru-baru ini khususnya ke Kelantan.

"Malam tadi kita sudah menghantar sebuah lori bomba bersama dua anggota kita bagi membantu operasi bantuan banjir di Kelantan.

"Bagaimanapun, sekiranya mereka memerlukan bantuan lanjut, kami akan menghantar lebih ramai pegawai dan aset untuk membantu bergantung dari arahan Ibu Pejabat JBPM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sayani berkata pihaknya juga bersedia untuk memberi bantuan untuk operasi mencari dan menyelamat yang sedang dilakukan dalam kejadian tanah runtuh Batang Kali di Selangor yang sedang giat dilakukan.

"Buat masa ini, kami masih belum mendapat arahan untuk memberi bantuan di sana (Batang Kali), namun kami sentiasa bersedia untuk menyediakan tenaga kerja dan aset yang diperlukan untuk membantu," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2022 @ 2:31pm
d