mutakhir

Restoran terapung produk pelancongan baharu di Langkawi

Oleh Hamzah Osman / 19DEC22

Langkawi: Menikmati makan malam sambil melihat matahari terbenam dari pelantar restoran terapung di tengah laut menjadi produk tarikan baharu di pulau ini.

Pelancong tempatan dan asing berpeluang memperoleh pengalaman itu selepas berkunjung ke BIK Floating Restaurant di perairan Kampung Sungai Menghulu, di sini.

Pengurus BIK Floating Restaurant Mahyudi Md Yusof berkata, pihaknya melabur sebanyak RM1 juta bagi membangunkan restoran berkonsepkan 'Santai Keluarga' itu.

"Memandangkan kedudukannya di tengah laut yang terdedah kepada angin dan ombak, pembinaan pelantar menggunakan kayu berkualiti bagi menjamin keselamatan pengunjung yang menikmati hidangan di restoran ini.

"Menu utama yang menjadi tarikan di sini adalah makanan laut, selain sajian gulai panas ikan segar yang diternak dalam sangkar," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian restoran itu di sini.

Perasmian disempurnakan Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya.

Mahyudi berkata, restoran terbabit beroperasi mulai 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari dan digabungkan bersama pakej 'Sunset Cruise' menggunakan bot mewah Petrus.

"Pengunjung menaiki bot mewah dari Jeti Pelancongan di Pekan Rabu Kuah sebelum dibawa menyusur pantai dan pulau dalam perjalanan ke restoran ini.

"Restoran ini juga menjadi pemangkin kepada aktiviti Jelajah Laut Andaman membabitkan Langkawi dan Koh Lipe, Thailand," katanya.

Beliau berkata, restoran ini bukan sahaja menjadi lokasi pengunjung menikmati juadah, bahkan ia menjadi produk serampang dua mata dalam industri pelanacongan tempatan.

Disiarkan pada: December 19, 2022 @ 5:05pm
d