mutakhir

Suri rumah kerugian hampir RM100,000 diperdaya Parcel Scam

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Seorang suri rumah kerugian RM98,999 akibat terpedaya dengan penipuan kiriman bungkusan tidak wujud atau Parcel Scam.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan, pada September lalu, mangsa berusia 40-an berkenalan dengan suspek melalui di media sosial.

Katanya, selepas berkenalan beberapa hari, suspek memaklumkan menghantar hadiah sebagai tanda persahabatan kepada mangsa.

"Mangsa menerima pesanan ringkas daripada syarikat penghantaran barang yang memaklumkan bungkusan yang dikirimkan kepada mangsa disekat kerana mengandungi barangan berharga dan wang tunai.

"Berikutan itu, mangsa diminta membuat bayaran untuk melepaskan bungkusan terbabit. Mangsa kemudiannya membuat bayaran sebanyak RM98,999 dengan 14 kali transaksi membabitkan empat akaun bank yang berbeza atas alasan bayaran itu untuk pelepasan cukai, bayaran cukai SST, bayaran pengisytiharan harta, bayaran sijil anti keganasan dan bayaran pemindahan eksklusif.

"Mangsa membuat bayaran itu menggunakan wang simpanan hasil perniagaan milik suami mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan kenalan melalui media sosial dan jangan sesekali membenarkan akaun bank digunakan oleh orang lain atau menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) kepada pihak lain untuk digunakan bagi apa saja urusan.

Disiarkan pada: December 20, 2022 @ 11:32pm
d