mutakhir

Bicara Ebit Lew: Tidak pasti sama ada pengadu hantar gambar lucah

Oleh Yun Mikail

Tenom: Pengasas dan Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus Wong memberitahu mahkamah beliau tidak mengetahui sama ada 'pengadu' (identiti tidak didedahkan) ada menghantar gambar lucah kepada pendakwah terkenal, Ebit Lew.

"Beliau (pengadu) memang tidak pernah memberitahu kepada saya.

"Malahan saya juga tidak bertanya kepada beliau dan ini kali pertama saya melihat gambar berkenaan.

"Saya juga tidak boleh pastikan sama ada gambar lucah itu adalah gambar pengadu (identiti tidak didedahkan) atau orang lain," katanya.

Firdaus berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria pada sesi pemeriksaan semula perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom, di sini, hari ini.

Sementara itu, Firdaus yang juga pendakwah bebas pada perbicaraan sebelah pagi memaklumkan kepada Mahkamah Majistret bahawa kumpulan WhatsApp NOBODY yang diwujudkannya kini tidak lagi aktif.

Menurutnya, ia berikutan semua aduan mangsa berkaitan sudah dikendalikan oleh pihak polis.

Disiarkan pada: December 21, 2022 @ 3:37pm
d