mutakhir

Tak jadi pinjam duit pun kena ugut

Oleh Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Seorang pekerja sebuah pasar raya di Singapura bukan sahaja mengalami kerugian lebih RM22,970, namun dia yang membuat keputusan untuk tidak meneruskan pinjaman wang selepas sedar ditipu, tetap diburu along.

Bukan sahaja dirinya, namun ahli keluarga terdekat serta rakannya kini menjadi mangsa selepas turut menerima beberapa panggilan dan mesej ugutan daripada sindiket pinjaman wang tidak berlesen itu.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Tee, 32, semuanya bermula apabila dia tertarik dengan iklan syarikat pinjaman wang berlesen di Singapura menerusi laman media sosial bagi tujuan pelaburan.

"Apabila saya klik pada pautan tersebut, ia dihubungkan dengan nombor WhatsApp seorang lelaki yang mendakwa dirinya adalah wakil syarikat berkenaan.

"Dia menjelaskan, untuk mendapatkan pinjaman sejumlah SGD50,000 (RM222,024.97), saya perlu membayar tujuh peratus cukai kerajaan.

"Jadi, saya memindahkan duit ke akaun yang diberikan sebanyak SGD3,500 (RM11,485).

"Dia kemudian beritahu ada masalah ketika pemindahan wang dilakukan dan minta saya membayarnya semula dengan jumlah yang sama dan berjanji wang itu akan dikembalikan selepas pinjaman diluluskan," katanya ketika sidang media di Pejabat MCA Johor di Danga Bay di sini, hari ini.

Tee memberitahu, selepas membuat pembayaran SGD7,000 (RM22,970), lelaki yang dikenali sebagai Melvin itu memintanya untuk membayar lagi SGD6,000 (RM19,690) yang dikatakan caj guaman.

"Saya maklumkan kepada lelaki itu wang sudah habis dan tidak tidak berhasrat meneruskan pinjaman.

"Namun, tindakan itu membuatkan lelaki itu marah dan mengarahkan saya untuk membayar kos pembatalan sebanyak RM7,500 (RM24,612)," katanya.

Menurutnya, dia kemudian menyedari ditipu apabila mendapat tahu lelaki terbabit bukan wakil syarikat pinjaman wang berlesen berkenaan.

"Saya kemudian membuat laporan polis di Singapura pada 11 Disember lalu," jelasnya.

Sehari selepas laporan polis dibuat, dia mendakwa, dirinya, ibu, kakak serta rakannya ada menerima beberapa mesej ugutan daripada nombor tidak dikenali yang meminta pembayaran yang masih tertunggak.

"Pada 12 Disember lalu, mereka bertindak menyimbah cat merah ke rumah kakak saya di Taman Seri Skudai di sini, dan menghantar video mereka melakukan perbuatan itu kepada saya.

"Mereka turut meninggalkan nota di pagar rumah tertera nombor telefon untuk saya hubungi.

"Mereka ada menghantar mesej ugutan untuk membakar rumah dan kereta keluarga saya. Saya bimbang akan keselamatan mereka dan berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Ahli Biro Pengaduan Awam MCA Johor, Heng Zhi Li berkata, beliau berharap pihak polis di Johor dan Singapura dapat bekerjasama bagi menyelesaikan kes berkenaan memandangkan suspek masih bekerja berulang alik ke Singapura.

Pada masa sama, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis yang dibuat Tee.

Disiarkan pada: December 21, 2022 @ 6:55pm
d