mutakhir

Samun kedai emas, wanita diburu polis

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Wanita berjubah hitam diburu polis selepas disyaki cuba menyamun kedai emas dalam kejadian di sebuah pasar raya di Ayer Keroh, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, suspek yang berusia lingkungan 30-40 an dikatakan ke kedai emas yang terletak di tingkat bawah pasar raya terbabit dengan berpura-pura mahu membeli barangan kemas.

Beliau berkata, suspek terbabit berpakaian jubah hitam dan memakai pelitup muka.

"Suspek dikatakan ke premis itu untuk membeli emas dan tiba-tiba dia bertindak mengeluarkan sebilah pisau dari beg galas lalu mengacukan kepada pekerja yang sedang melayannya.

"Suspek mengarahkan pekerja kedai terbabit yang berusia 16 tahun untuk memasukkan barangan kemas itu ke dalam begnya," katanya.

Christopher berkata, rakannya yang menyedari kejadian kemudian bergegas ke arah remaja terbabit lalu menariknya ke arah belakang.

"Suspek kemudian bertindak melarikan diri dan pekerja lelaki premis terbabit yang cuba mencari wanita terbabit gagal menemuinya," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati tiada sebarang kerugian dilaporkan selain pekerja premis itu juga tidak mengalami kecederaan.

"Usaha mengesan suspek kini giat dijalankan selain polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjejaknya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak menggunakan senjata," katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2022 @ 4:31pm
d