mutakhir

Jumlah mangsa tragedi tanah runtuh adalah 92 orang [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Hulu Selangor: Angka sebenar mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di sini, adalah seramai 92 orang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, jumlah itu berkurangan berbanding angka awal yang dilaporkan iaitu 94 orang selepas semakan lanjut dan laporan polis yang diterima pihaknya setakat ini.

Berikutan itu, katanya, hanya satu lagi mangsa membabitkan kanak-kanak lelaki yang dilaporkan masih hilang.

"Pada mulanya kita (polis) mengumumkan keseluruhan 94 mangsa. Jumlah itu dibuat berdasarkan daftar masuk di tapak perkhemahan berkenaan.

"Selepas buat beberapa kali semakan dan laporan diterima daripada ahli keluarga, maka kita buat rumusan bahawa jumlah sebenar 92 orang.

"Kekeliruan angka sebenar mangsa insiden itu berlaku disebabkan pertindihan pendaftaran. Kita dah semak beberapa kali dan puas hati dengan jumlah itu, namun ia bergantung kepada keadaan sekiranya ada lagi waris yang buat laporan kita akan semak semula," katanya dalam sidang media di lokasi hari ini.

Arjunaidi berkata, daripada jumlah itu, seramai 30 orang disahkan terkorban manakala 61 selamat dan seorang lagi mangsa dilaporkan masih hilang membabitkan seorang kanak-kanak lelaki.

Beliau berkata, kehilangan mangsa itu berdasarkan laporan yang dibuat keluarganya.

Katanya, operasi SAR bagi mencari mangsa kanak-kanak itu akan diteruskan sehingga menerima arahan lanjut.

Disiarkan pada: December 22, 2022 @ 6:31pm
d